Tips Komputer 07

Soalan:
Bagaimanakah jika saya ingin menulis sesuatu kedalam CD-ROM, iaitu untuk tujuan menyimpan data. Jika boleh, apakah CD-ROM biasa boleh digunakan?

Jawapan:
Anda tidak boleh menulis atau menyimpan fail ke dalam CD-ROM. Ini kerana CD-ROM adalah cakera padat dengan ingatan baca sahaja (Compact Disk - Read Only Memory). Sebaliknya anda boleh menggunakan CD-R yang merupakan cakera padat boleh rakam (Compact Disk - Recordable) ataupun CD-RW iaitu cakera padat boleh tulis semula (Compact Disk - Rewriteable).
Namun kedua-dua CD-R dan CD-RW tidak boleh ditulis menggunakan pemacu CD-ROM biasa. Untuk merakam atau menulis data didalam cakera-cakera padat ini, anda memerlukan pemacu cakera yang bersesuaian biasanya disebut sebagai CD writer.
Pemacu ini biasanya berharga sekitar RM800.00 dan keatas, manakala CD-R dengan harga sekitar RM10.00 sekeping serta CD-RW dengan harga sekitar RM30.00.
CD-R merupakan cakera padat yang hanya boleh ditulis sekali sahaja, iaitu tidak boleh dipadam atau disunting lagi setelah selesai dirakam data keatasnya. Manakala CD-RW pula adalah cakera padat yang boleh ditulis dan dipadam berulang-ulang kali, hampir menyerupai cakera keras sifatnya, cuma ia dikatakan mempunyai batasan jumlah tulisan semula yang tertentu ke atasnya.


Soalan:
Saya menggunakan modem luaran dengan kelajuan 56bps. Masalahnya, apabila saya menghubungi Internet, modem tersebut hanya mampu disambungkan dengan kelajuan sekadar antara 28.8kbps hingga 33.6kbps sahaja.
Untuk pengetahuan, saya menggunakan komputer dari jenis Pentium Celeron 300MHz, 32MB RAM. Saya juga berlanggan perkhidmatan Internet menerusi TMnet menggunakan talian telefon rumah biasa.

Jawapan:
Tahap kelajuan sesuatu sambungan Internet biasanya tidak akan mencapai tahap keupayaan maksimum modem yang digunakan. Sekiranya anda menggunakan modem 56kbps manakala kelajuan sambungan didapati hanya sekitar 33.6kbps sahaja maka ia boleh dianggap normal. Ia sebenarnya bergantung kepada banyak faktor.
Kelajuan sambungan Internet ini biasanya tidak dipengaruhi secara ketara oleh komputer pelayan yang digunakan oleh pembekal perkhidmatan Internet anda. Faktor utama yang biasanya menyebabkan masalah seperti itu adalah keadaan talian telefon dirumah anda yang mungkin sudah usang, pernah disambar kilat ataupun mempunyai sambungan yang longgar atau tidak sempurna. Faktor masa juga memainkan peranan penting kerana ada masa-masa yang tertentu, talian menjadi amat sibuk akibat terlalu ramai orang yang menggunakannya serentak. Ini sudah pasti akan menyebabkan kelajuan akses anda menjadi perlahan. Faktor cuaca juga mungkin mempengaruhi akses bagi sesetengah kawasan khususnya dimana talian telefon mungkin terdedah kepada hujan atau air yang bertakung dan menyebabkan litar pintas pada talian.
Modem yang murah dan kurang berkualiti juga boleh menyebabkan anda sukar untuk mendapatkan sambungan pada tahap kelajuan maksimum.
Satu lagi faktor yang menghadkan kapasiti laluan data anda ialah had lebar jalur (bandwidth) yang mampu disokong oleh talian telefon anda serta ibusawat telekom tempatan.
Infrastruktur bagi sebuah ibusawat yang terletak jauh dari bandar besar mungkin tidak mampu menyokong kelajuan yang maksimum.

Soalan:
Saya banyak menerima e-mel dari pihak-pihak yang saya tidak kenal. Saya sudah memaklumkan kepada mereka agar tidak menghantar lagi e-mel kepada saya dengan cara unsubscribe seperti yang dinyatakan didalam e-mel tersebut. Namun kaedah itu tidak berjaya dan mereka masih terus menghantar kepada saya. Apakah cara yang lebih mudah untuk menghalang e-mel yang menganggu ini?

Jawapan:
Kebanyakan pihak yang mengirimkan e-mel seperti itu menyediakan kaedah unsubscribe sebagai pilihan untuk menghentikan e-mel mereka secara sopan. Namun terdapat juga pihak yang tidak bertanggung jawab dan terus menghantar e-mel kepada pengguna walaupun setelah diminta supaya dihentikan.
Untuk terus menghalang e-mel seperti itu, anda boleh menggunakan fungsi Block Sender yang terdapat didalam kebanyakan perisian e-mel masa kini contohnya Outlook Express dan Netscape Mesengger.
Jika anda menggunakan perisian Outlook Express, satu cara untuk anda menghalang e-mel tersebut ialah dengan terlebih dahulu mengklik padanya.
Kemudian klik pada menu Message dan klik pada Block Sender. Seterusnya anda akan ditanya kepastian samada anda hendak memadamkan semua e-mel yang dihantar oleh pengirim tersebut, jawablah pada 'Yes'.
Apa yang berlaku seterusnya ialah semua e-mel daripada pengirim yang sama akan dipadamkan daripada peti e-mel anda didalam perisian terbabit dan alamat e-mel pengirim itu akan disenarai hitamkan.
Anda boleh melihat atau menyunting senarai hitam tersebut dengan memasuki menu Tools > Message Rules > Block Senders List.
Beberapa perkhidmatan e-mel berasaskan web seperti Hotmail, Yahoo.mail, Usa.net dan lain-lain turut menyediakan fungsi tersebut didalam sistem mereka.
Malah Hotmail dan Yahoo juga baru-baru ini telah memperkenalkan perkhidmatan penapisan junk mail atau bulk mail untuk membantu anda mengisihkan e-mel yang dikenalpasti sebagai dihantar secara pukal dan mungkin tidak disukai oleh anda.


Soalan:
Saya baru saja membeli sebuah komputer ACER Pentium III 733Mhz dengan kapasiti 15 GB. Masalahnya sekarang ialah saya dapati kapasitinya berkurangan, mula-mula dahulu ada lebih kurang 80% yang free, sekarang sudah jadi 73%.
Yang peliknya ia berkurangan apabila saya masuk ke Internet, daripada 80% kepada 77%, 75% dan 73%. Saya tidak ada download mana-mana perisian daripada Internet. Saya ada juga menggunakan chat, pernah sekali ketika chat, seseorang telah 'bom' saya dimana bila hendak buka sesuatu dalam Internet ia menjadi lambat sangat. Apakah masalahnya sekarang.

Jawapan:
Tidak ada yang peliknya didalam situasi ini. Ruang atau kapasiti cakera keras yang kosong pasti tidak sekali-kali akan bertambah apabila anda menggunakan komputer. Apabila anda menggunakan Internet juga, fail-fail cache iaitu merupakan salinan kepada setiap item yang anda lihat semasa melayari Internet akan menjadi penyumbang besar kepada pengurangan ruang kosong cakera keras.
Perisian pelayar seperti Internet Explorer dan Netscape Communicator akan memerlukan peruntukan sejumlah ruang didalam cakera keras untuk ia menempatkan fail-fail tersebut. Jumlah storan fail ini boleh dikawal oleh seseorang pengguna, jika anda menggunakan lebih banyak ruang storan untuk fail cache, maka pelayaran anda ke tapak-tapak web yang sering dikunjungi akan menjadi lebih pantas.
Menjadi mangsa bom melalui IRC atau e-mel juga boleh menyebabkan ruang cakera keras anda menjadi sedikit dengan lebih cepat.
Untuk menyelesaikan masalah ini, anda perlu mencari dan memadamkan "bom" berkenaan, kerana kehadirannya hanya membazirkan ruang dan tidak berfaedah kepada sesiapapun.
Periksa juga peti e-mel anda dan padamkan mana-mana e-mel bersaiz besar yang didapati telah dihantar kepada anda tanpa tujuan yang menasabah.
Saya nasihatkan agar anda mengambil langkah berhati-hati ketika berinteraksi di Internet terutamanya melalui e-mel dan IRC.

Soalan:
a) Semasa saya melayari Internet dalam sela masa tertentu, komputer akan menunjukkan tanda 'disconnect' dengan tiba-tiba. Adakah ia disebabkan oleh talian masuk atau 'setting' yang tidak betul?
b) Apakah yang perlu dilakukan sekiranya monitor komputer malap secara perlahan-lahan.

Jawapan:
a) Pada kebiasaannya, komputer akan disconnect modem dengan sendirinya jika terdapat gangguan didalam talian ataupun talian terputus.
Ia juga boleh terjadi sekiranya anda melanggan perkhidmatan waiting call dengan syarikat telekomunikasi, dan tiba-tiba ada panggilan masuk. Jika anda tidak melanggan perkhidmatan tersebut, panggilan masuk tidak akan menyebabkan talian terputus memandangkan sesiapapun tidak akan dapat menghubungi nombor telefon anda sewaktu Internet sedang digunakan.
b) Jika komputer malap perlahan-lahan, anda perlu memeriksa beberapa perkara untuk menentukan punca ia terjadi.
Pertama, pastikan samada ia adalah salah satu sifat atau ciri-ciri monitor tersebut yang sendirinya akan malap sekiranya tidak digunakan selepas tempoh waktu yang tertentu (seperti screen saver atau monitor power saving). Contohnya jika ia berlaku setelah komputer ditinggalkan, dan akan kembali kepada keadaan sedia kala sekiranya diusik papan kekunci atau tetikusnya, maka ia sudah tentu merupakan salah satu ciri-ciri penjimatan kuasa yang digunakan oleh perkakasan atau perisian komputer berkenaan.
Keduanya, pastikan juga ia bukan diakibatkan oleh serangan virus tertentu.
Ketiganya, jika kejadian monitor itu malap berlaku tidak tentu masa dan mungkin sewaktu sedang digunakan sekalipun, ia mungkin disebabkan oleh monitor itu sendiri yang rosak. Monitor-monitor komputer yang berusia tiga tahun keatas, selalunya sudah agak uzur dan mungkin berkelakuan sebegitu.
Jika masalah komputer itu berpunca daripada usia monitor yang sudah lanjut, anda boleh cuba merujuk kepada kedai membaiki monitor dan dapatkan nasihat darinya. Dalam sesetengah keadaan, monitor tersebut mungkin masih boleh diselamatkan dan diperbaiki. Bagaimanapun, seringkali juga membaiki monitor berkenaan tidak akan memberikan anda kepuasan kerana pada kebiasaannya ia tidak akan tahan lama sangat.

Soalan:
Saya menggunakan cakera keras jenis SEAGATE berkapasiti 1.75 GB. Saya telah memindahkan cakera keras tersebut ke komputer rakan saya dan memformat cakera tersebut melalui arahan format pada right click cakera keras tersebut. Hasilnya, cakera keras saya menjadi kosong.
Masalah saya ialah, apabila cakera keras tersebut dipindahkan semula ke komputer saya, saya gagal menginstall Window 95 seperti biasa (memasukkan startup disk, memformat c:, dan setup Windows seperti biasa). Apa yang muncul hanyalah: INVALID SYSTEM DISK REPLACED THE DISK, AND THEN PRESS ANY KEY.
Saya telah mengeluarkan startup disk dari CPU namun tetap gagal. Bagaimanakah hendak menyelesaikan masalah ini (memasang semula windows) kerana cakera keras itu masih lagi boleh digunakan seperti biasa apabila ia berada di komputer rakan saya. Untuk pengetahuan saya menggunakan komputer jenis ACER, Pentium (r)166MHz dan Memori 32MB.

Jawapan:
Cakera keras anda tidak rosak, sebaliknya ia kosong. Apabila anda memindahkannya semula ke komputer asal, ia memang tidak dapat dihidupkan dengan sempurna jika anda tidak menyalin fail-fail sistem sewaktu atau selepas selesai memformat cakera berkenaan.
Keadaan ini diatasi dengan memulakan komputer tersebut menggunakan Startup Disk untuk membolehkan fail-fail pemacu asas khususnya untuk pemacu CD-ROM dimasukkan kedalam sistem komputer.
Walau bagaimanapun jika disket yang digunakan itu rosak atau gagal dibaca oleh komputer, ataupun fail sistem gagal ditemui didalamnya, ralat seperti yang anda nyatakan akan dipaparkan.
Untuk menyelesaikan masalah ini, anda perlulah mendapatkan Startup Disk yang telah dipastikan keberkesanannya (tidak rosak) serta pastikan juga bahawa pemacu disket anda berfungsi dengan baik.

Bolehkah dua buah komputer menggunakan hanya satu akaun JARING dan bolehkan berlaku pertukaran e-mail antara kedua-duanya?
Dua buah komputer boleh mempunyai satu akaun JARING yang sama, tetapi ia tetap menggunakan alamat e-mail yang sama. Oleh itu adalah tidak praktikal untuk anda menghantar e-mel di antara dua komputer kerana ia menggunakan akaun yang sama. Komputer pelayan mel (mail server) JARING tidak dapat membezakan antara dua komputer itu dan ianya seperti menghantar e-mail kepada diri sendiri. Namun, anda masih boleh menggunakan akaun JARING untuk masuk ke Internet dan selepas itu gunakan perkhidmatan e-mail berasaskan Web (Web-based e-mail) yang ditawarkan secara percuma seperti Hotmail, Rocketmail, Netaddress dan sebagainya. Dengan itu masalah menghantar e-mail akan selesai!

Bolehkah sebuah sistem komputer jenis Acer dengan 486 SX2-50, 12MB RAM dan pemacu CD-ROM `double speed' dapat menggunakan Internet? Jika sistem komputer tersebut tidak dapat digunakan, bolehkah saudara berikan sedikit tips untuk mempertingkatkan (upgrade) kehendak sistem komputer tersebut yang paling minima untuk menggunakan Internet?

Untuk pengetahuan anda, sistem yang dinyatakan itu sudah memadai dan mampu untuk menggunakan Internet dengan syarat ia dilengkapkan dengan satu lagi alat iaitu modem. Bagaimanapun jika mampu, dapatkanlah komputer Pentium dengan 16MB RAM serta modem dengan kelajuan minima 28.8kbps. Sebagai permulaan, saya syorkan anda menggunakan apa yang ada terlebih dahulu untuk melayari Internet. Dapatkan modem yang baik, kerana teknologinya agak lambat berkembang berbanding kelajuan komputer yang cepat meningkat. Apabila tiba waktunya anda terasa jemu dengan kadar pemprosesan komputer yang agak lembap, maka tukarlah dengan yang baru.

Saya dapat menerima e-mel dari kawan saya, tetapi jika saya mengirimkan e-mel kepadanya, dia tidak dapat menerima e-mel itu. Mengapa?

Kemungkinan pertama ialah komputer pelayan (server) mel pembekal perkhidmatan Internet sedang rosak (down), cuba hantar di lain masa. Jika itu tidak menyelesaikan masalah, cuba anda periksa konfigurasi komputer pelayan mel anda (atau kawan anda) pada bahagian `server' di dalam perisian mel (jika Netscape - pergi kepada menu Options-Mail and News Preferrences-Servers dan jika guna Explorer - pergi kepada menu Mail-Options-Servers).
Perhatikan nama-nama pelayan yang dinyatakan pada `outgoing mail (SMTP)' dan `incoming mail (POP3)'. Pastikan kedua-duanya adalah betul seperti yang dikehendaki, contohnya TMnet menggunakan mail.tm.net.my untuk kedua-dua pelayan manakala Jaring biasanya menggunakan pop3.jaring.my. Kemungkinan ketiga adalah anda tersalah taip alamat e-mel kawan anda, setiap aksara dalam alamat akan menentukan ke mana perginya mel tersebut. Jika anda tersalah taip alamat destinasi, biasanya e-mel tersebut akan dipulangkan kembali kepada anda secara automatik. Jika ia tidak dikembalikan, dan kawan anda juga tidak menerimanya, kemungkinan besar masalah adalah di sebelah pihak kawan anda.

Bagaimanakah cara untuk memindah terima (download) sekiranya ingin melihat video dari laman Web yang ada menyediakan video-video menarik. Adakah diperlukan perisian tambahan seperti Apple Quicktime yang boleh diperolehi daripada Internet juga?

Ya, anda perlukan perisian tambahan (plug-in) yang bersesuaian. Rujuk laman Web terbabit untuk mengetahui perisian apa yang diperlukan untuk menonton video yang disediakannya. Seterusnya, pindah terima perisian tersebut dan kemudian pasangkannya (install) ke dalam komputer anda sebelum anda boleh mula menonton video. Terdapat beberapa perisian tambahan yang diperlukan untuk memainkan fail-fail video dengan format yang berlainan.

Bagaimana untuk membuat laman Web (homepage) sendiri dengan menggunakan perisian sedia ada?

Sebenarnya laman Web boleh dibuat menggunakan sebarang program penyunting teks (text editor) di dalam Windows seperti Notepad, Write, Wordpad atau Microsoft Word. Apa yang harus anda lakukan ialah mempelajari kod-kod ataupun tag-tag HTML (yang mudah) dan menyimpannya dengan sambungan (extension) .html atau .htm. Gunakan perisian perayau (browser) seperti Netscape atau Internet Explorer untuk melihat hasilnya.
Anda boleh mempelajari HTML dengan memerhati kod yang digunakan untuk laman-laman Web yang anda kunjungi. Untuk melihat kod tersebut, daripada perisian perayau, ambil menu View - Source.

Apakah perbezaan antara Internet, intranet, ekstranet, Ethernet dan Networks?

Internet merupakan satu rangkaian besar dan umum yang menghubungkan banyak rangkaian-rangkaian komputer di seluruh dunia, ianya bersifat awam dan boleh dicapai oleh sesiapa sahaja. Intranet pula adalah satu rangkaian komputer yang tertutup dan boleh dicapai oleh orang atau pihak yang tertentu sahaja, contohnya rangkaian komputer sebuah universiti yang menghubungkan semua jabatannya di seluruh kampus. Manakala ekstranet adalah jalinan antara beberapa intranet, contohnya jalinan antara rangkaian komputer yang terdapat disebuah universiti dengan universiti-universiti yang lain. Ketiga-tiga Internet, intranet dan ekstranet menggunakan satu teknologi sama yang pada umumnya dikenali sebagai teknologi Internet ataupun protokol Internet. Ethernet pula merupakan satu bentuk rangkaian kawasan setempat (local area network atau LAN) yang menghubungkan satu kumpulan komputer contohnya di sebuah pejabat. Networks atau rangkaian pula adalah satu istilah umum yang merujuk kepada dua atau lebih komputer yang dihubungkan antara satu sama lain.

Jika ingin memasang Internet. Apakah jenis modem yang perlu saya gunakan buat pertama kali?

Untuk menggunakan Internet, anda boleh menggunakan sebarang jenis modem samada modem dalaman (internal) atau luaran (external). Kami syorkan anda dapatkan modem dengan kelajuan 33.6kbps atau lebih, kerana ianya lebih laju memindahkan data. Jangan berkira sangat tentang harga, kerana modem yang murah kadang-kadang tidak memberikan prestasi yang memuaskan.

Apakah perbezaan antara TMnet dan Jaring?

TMnet dan Jaring merupakan dua perkhidmatan Internet yang utama di negara ini. TMnet dikendalikan oleh Telekom Malaysia Berhad manakala Jaring dikendalikan oleh MIMOS Berhad.

Bagaimana hendak mendapatkan maklumat terkini melalui Internet?

Untuk mendapatkan maklumat terkini daripada Internet, terdapat beberapa saluran dan kaedah. Jika anda inginkan berita-berita semasa, anda boleh mendapatkannya daripada akhbar-akhbar dalam talian seperti Utusan Online di alamat http://www.utusan.com.my . Sekiranya maklumat yang diinginkan lebih berbentuk khusus mengenai sesuatu perkara, anda boleh mencuba menggunakan enjin pencari (search engine) yang terdapat di Internet seperti http://altavista.skali.com.my atau http://www.cari.com.my

Apakah perlu seseorang itu yang memiliki PC, menggunakan Internet?

Seseorang pemilik PC tidak semestinya menggunakan Internet. Tetapi Internet dikatakan sebagai sumber kepada pelbagai maklumat, dan jika seseorang pengguna tahu menilai dan amat mementingkan maklumat, maka Internet adalah untuknya. Ia seumpama memiliki sebuah kereta, anda tidak perlu menggunakannya jika anda tidak berminat untuk pergi ke majlis-majlis ceramah ataupun bersiar-siar makan angin, gunakan ia hanya untuk urusan kerja.

Antara modem dalaman dan modem luaran, yang mana lebih digalakkan untuk digunakan?

Modem dalaman memerlukan anda membuka penutup (casing) komputer jika ingin memasangnya manakala untuk modem luaran anda hanya perlu menyambungkan ke penghubung `com port' dibelakang komputer. Jika anda pasang modem luaran, anda perlu menghidupkan suisnya setiap kali ingin diguna tetapi jika model dalaman, anda tidak perlu buat apa-apa lagi. Modem luaran juga senang dipindah-pindahkan antara komputer yang berlainan. Namun kebanyakan pengguna-pengguna lama dan lebih senior lebih gemar menggunakan modem luaran, lagipun ia mempunyai paparan LED yang memberitahu pengguna tentang status, operasi baca-tulis dan lain-lain. Jadi, tepuk dada tanya selera sendiri.

Saya baru memiliki komputer yang lengkap dengan modem 33.6Kbps (internal), perisian Internet dan e-mail. Saya ingin menggunakan kemudahan Internet dan e-mail, oleh itu siapakah yang saya perlu hubungi samada TMNet atau Jaring (MIMOS)?

Jika anda ingin mendapatkan perkhidmatan Internet, anda boleh menghubungi samada TMNet ataupun MIMOS. Kedua-duanya merupakan penyedia perkhidmatan Internet rasmi di Malaysia.. Untuk berlanggan dengan TMNet anda hanya perlu mengunjungi mana-mana Kedai Telekom atau menghubungi talian 03-7031515, dan sekiranya anda ingin berlanggan dengan MIMOS, anda boleh menghubungi MIMOS sendiri di talian 03-9662916 ataupun pihak-pihak yang dilantik sebagai pembekal perkhidmatan akses Jaring (JASP) seperti Utusan Jaring dan Silicon Communications. Selain itu terdapat juga beberapa syarikat swasta yang menyediakan perkhidmatan Internet yang lebih eksklusif dan mahal sedikit seperti Putra.Net, Nasionet, MOLnet, IBM Global Connection (VADS) dan AsiaConnect.

Bagaimana cara untuk mendapatkan kemudahan Internet di rumah, bagaimana proses pembayarannya dan bil yang dikenakan ?

Perkhidmatan Internet boleh digunakan samada di rumah atau pejabat. Kedua-duanya sama sahaja - memerlukan komputer, modem dan talian telefon biasa. Jika anda menggunakan TMNet, bayaran akan dicajkan menerusi bil telefon dengan kadar 2.5 sen seminit manakala untuk lain-lain perkhidmatan, anda dikehendaki membayar yuran langganan mengikut kadar yang tertentu.


Saya suka membuat pelayaran melalui internet tapi amat-amat membosankan kerana menunggu terlalu lama untuk mendapatkan sesuatu maklumat.. Tidakkah ada cara lain yang paling mudah dan cepat.

Salah satu `netiquette' ataupun Etika Net yang perlu diamalkan oleh para pelayar Internet ialah bersabar. Lebuhraya maklumat tidak terlepas daripada masalah kesesakan lalulintas terutamanya pada waktu-waktu kerja yang sibuk. Bagaimanapun jika anda ingin keselesaan semasa melayari Internet, terdapat beberapa tip;

Guna Internet sewaktu tidak sibuk seperti sebelah petang atau awal pagi. Elakkan waktu makan tengahari.
Pastikan komputer anda menggunakan modem yang baik dan berkelajuan sekurang-kurangnya 33.6kbps. Sesetengah modem, walaupun laju tetapi mempunyai kadar pemampatan data yang lemah dan seringkali menyebabkan talian terputus. Oleh itu pilihlah modem dengan bijak.
Sekiranya anda menggunakan talian dail terus (dial-up), cuba putuskan hubungan (disconnect) dan sambung (connect) semula selepas beberapa minit.
Jika anda ingin memindahkan fail dari komputer pelayan (server) luar negeri dan ia menyediakan pelayan protokol pemindahan fail (FTP), jangan guna perisian pelayar (browser) sebaliknya gunalah perisian FTP dan pindah terima (download) fail terus daripada pelayan FTP tersebut.
Jika mampu, langganlah talian ISDN ataupun jika menggunakan komputer di pejabat, syorkan pihak pentadbiran agar menggunakan talian suwa berkelajuan tinggi, sambungan gentian optik ataupun sistem rangkaian yang lebih baik.

Apakah langkah-langkah yang perlu atau prosedur untuk membuat sebuah laman
Web (homepage) ?
Sebelum kita membuat sesuatu laman Web, pastikan dahulu di mana anda hendak terbitkan (publish) atau tempatkan laman tersebut. Maksudnya, anda perlu mengenal pasti tapak-tapak Web yang menawarkan ruang untuk laman Web samada secara berbayar ataupun percuma. Uruskanlah tempahan laman anda di tapak Web tersebut terlebih dahulu jika perlu. Fikirkan juga bahan-bahan atau kandungan yang ingin anda muatkan dalam laman Web itu seperti maklumat peribadi anda/syarikat anda, hobi/perniagaan dan sebagainya. Setelah itu karanglah laman Web anda dengan perisian pengarangan yang sesuai. Bila siap, hantarkan (upload) ia tapak Web berkenaan menggunakan perisian FTP.

Apakah nama-nama program yang membolehkan kita untuk membuat sesebuah laman Web dengan baik serta mempunyai persembahan yang canggih ?

Terdapat pelbagai perisian di pasaran untuk kita membangunkan sesebuah laman Web yang menarik. Antaranya ialah Netscape Communicator, Microsoft FrontPage, Lotus Go, Webtricity (keluaran Micrografx), HotDog dan lain-lain. Microsoft Office 97 dan Lotus Smartsuite 97 juga mempunyai komponen yang membolehkan anda mengarang laman Web. Untuk menambah kesan khas kepada laman Web, anda boleh gunakan perisian pembangunan aplet Java atau ActiveX.

Bagaimanakah cara untuk mendaftar laman Web kita dalam Internet dan bagaimanakah tentang bayarannya ?

Untuk mendaftar sesebuah laman Web, anda boleh rujuk kepada enjin pencari Yahoo, Excite, AltaVista dan sebagainya. Pengguna lain dapat mencari laman Web anda berdasarkan kata kunci yang bersesuaian.

Saya hendak membuat laman Web (homepage) dan banyak melihat iklan di Internet tentang laman Web percuma. Apakah pendapat pengarang tentang hal ini? Adakah saya perlu membeli apa-apa perisian untuk membuat sebuah laman Web?

Laman Web percuma seperti di http://www.geocities.com adalah baik sebagai tempat permulaan untuk kita `membina rumah' di alam siber. Anda boleh membuat sebuah laman Web mengenai peribadi, minat atau sebagainya tentang anda. Anda juga tidak semestinya membeli sebarang perisian kerana biasanya pengelola tapak Web yang menawarkan laman Web percuma berkenaan ada menyediakan alat pengarangan yang bersesuaian. Jika anda inginkan kebebasan dan membuat sendiri laman Web, anda boleh memindah terima (download) perisian-perisian kecil pengarangan HTML (HTML editor) yang percuma ataupun `shareware' dari Internet.

Saya mempunyai komputer jenis 486DX4-100MHz. Adakah perlu saya upgrade untuk memasuki Internet?
Tidak perlu mempertingkatkan komputer anda kerana 486DX4-100MHz sudah cukup, (malah komputer 8088 sekalipun boleh, cuma penggunaannya terbatas kerana kebanyakan aplikasi Internet dibangun berasaskan Windows).

Apakah perbezaan antara `homepage', `web site', laman, halaman Web dan pelayar Web?

`Homepage' adalah suatu halaman (atau satu muka surat) di alam siber yang dipenuhi teks, grafik, animasi dan kesan bunyi. Laman adalah istilah yang disyorkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bagi menggantikan perkataan `homepage'. Halaman Web adalah istilah yang sering digunakan sebelum ini untuk merujuk kepada `homepage'. Untuk mengelakkan kekeliruan pembaca, kami menggunakan istilah `laman Web' untuk mewakili `homepage', `laman' dan `halaman Web'. `Web site' pula adalah tapak Web iaitu merujuk kepada komputer pelayan (server) yang digunakan untuk mengelola (hosting) sesuatu laman Web. Manakala pelayar Web adalah perisian yang digunakan untuk meluncur (surf) atau melayari (navigate) alam siber (Internet), contohnya Internet Explorer dan Netscape Navigator.

Apakah yang dimaksudkan dengan HTML, WWW, HTTP, PSTN dan ISDN?

HTML - Hyper Text Markup Language iaitu bahasa skrip yang digunakan untuk mengarang, membina dan menerbitkan laman Web di Internet. WWW - World Wide Web iaitu jaringan sedunia untuk laman Web. HTTP - Hyper Text Transfer Protocol iaitu satu kaedah pemindahan teks menerusi Internet yang dijadikan standard. PSTN - Public Switching Telephone Network iaitu sistem rangkaian analog telefon awam yang biasa digunakan, sistem telefon rumah/pejabat. ISDN - Intergrated Services Digital Network iaitu sistem rangkaian telekomunikasi digital yang lebih pantas, penggunaannya semakin diminati ramai tetapi kos yang lebih tinggi berbanding PSTN.

Apakah kelebihan dan kekurangan Netscape Navigators dan Internet Explorer? Yang manakah perisian terbaik untuk saya gunakan sebagai pelayar Web?

Netscape Navigator digunakan oleh 75 peratus pengguna Internet di seluruh dunia dan dijual dengan harga sekitar RM188. Manakala Internet Explorer pula diberikan percuma. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya. Tentu ada sebab kenapa lebih ramai orang menyukai salah satu daripadanya.

Saya baru sahaja membeli sebuah cakera keras berkapasiti 4.3.Gb untuk menggantikan cakera keras lama saya yang berkapasiti 1.7 Gb. Apakah langkah yang harus saya lakukan setelah menggantikan cakera keras yang lama itu?

Dari soalan anda tadi, anda menyatakan bahawa anda telah pun memasang cakera keras baru yang anda beli itu. Setelah memastikan pemasangannya adalah betul langkah berikutnya ialah memastikan maklumat mengenai cakera keras itu dimasukkan pada CMOS SETUPnya yakni BIOS. Untuk mendapatkan skrin CMOS SETUP, kaedah lazimnya ialah dengan menekan kekunci DEL apabila komputer dimulakan.

Untuk pengetahuan anda, selain daripada menekan kekunci DEL, turut terdapat BIOS serta sistem komputer yang menggunakan samada kekunci Alt + F2, Ctrl + Alt + Esc ataupun Ctrl + S (untuk pengetahuan anda, tanda + menunjukkan kekunci tersebut haruslah ditekan serentak). Sejurus menekan kekunci tersebut, anda akan mendapati skrin CMOS SETUP akan dipaparkan. Rupa skrin paparan bergantung kepada jenama serta jenis BIOS yang digunakan.

Secara umumnya skrin itu akan menyediakan pilihan untuk anda menetapkan serta memilih perkakasan serta butiran sistem seperti masa, tarikh, jenis paparannya dan sebagainya. Berbalik kepada soalan anda tadi, hampir kesemua BIOS yang mutakhir mampu untuk mengesan kehadiran serta kewujudan cakera keras yang baru di dalam sistem komputer tersebut.
Apa yang perlu anda lakukan ialah memilih pilihan AUTO DETECT HARD DISKS atau pun pilihan-pilihan yang membawa makna yang serupa dengannya. Sesudah mengesan cakera keras tersebut, setujuilah pilihan tersebut dan simpankan maklumat pada CMOS dengan memilih SAVE dan seterusnya keluarlah daripada SETUP tersebut. Sekarang mulakan semula komputer anda dan anda akan mendapti cakera keras baru anda akan dapat digunakan. Dalam soalan anda tadi, anda turut menyatakan bahawa anda mempunyai cakera keras lama anda yang berkapasiti sebanyak 1.7 Gb, sebenarnya anda masih boleh terus menggunakannya bersama dengan cakera keras baru anda. Ini adalah dengan memasang cakera keras tadi sebagai cakera keras kedua anda yakni sebagai SLAVE DISK.
Sebelum menetapkannya sebagai cakera keras kedua, anda perlu mengubahkan susunan lelompat (JUMPER) pada cakera keras tadi. Selalunya susunan lelompat akan ditunjukkan pada rajah yang dilampirkan di atas cakera keras anda. Langkah seterusnya ialah pergi kepada CMOS SETUP semula dan gunakan ciri AUTO DETECT HARD DISKS untuk mengesan cakera keras kedua anda.

Sejak kebelakangan ini, saya menghadapi masalah apabila menggunakan komputer peribadi saya iaitu setiap kali ia membuka Windows 95, ia akan terhenti serta memulakan semula komputer saya (REBOOT). Apakah yang harus saya lakukan?

Masalah sedemikian sering kali dihadapi oleh para pengguna apabila perisian Windows 95 mereka mengalami kerosakan. Kerosakan pada perisian itu terjadi oleh sikap pengguna yang menutup komputer peribadi tanpa terlebih dahulu keluar daripada perisian Windows yakni menggunakan kaedah untuk keluar daripada perisian Windows dengan cara yang betul.

Ada kemungkinan ianya juga berpunca daripada program pemacu serta perisian yang rosak ataupun tidak serasi dengan perisian Windows menyebabkan perisian Windows tidak dapat lancarkan.

Untuk menghadapi masalah ini, dapatkan perisian Windows anda dalam bentuk SAFE MODE, caranya ialah dengan memulakan semula komputer anda dan kemudiannya menekan kekunci F8, pada skrin paparan pilih pilihan SAFE MODE. Sesudah membuat pilihan SAFE MODE, anda akan mendapati ia akan memasuki program, Windows seperti biasa. Langkah seterusnya ialah padamkan perisian ataupun perisian pemacu yang terakhir anda pasangkan sebelum ini. Tutupkan perisian Windows dan masuk semula ke dalam perisian Windows seperti biasa. Besar kemungkinan masalah tersebut tidak wujud lagi. Jika anda mendapati masalah sedemikian masih terus berlaku apabila anda memilih pilihan SAFE MODE, kemungkinan besarnya ada kerosaka pada perisian Windows dan eloklah anda memasang semula perisian tersebut.


Baru-baru ini saya telah menggantikan papan litar (MOTHERBOARD) pada komputer peribadi tetapi apa yang menjadi masalahnya ialah selepas saya menggantikan papan litar tersebut, saya mendapati cakera keras saya tidak berfungsi. Apakah yang harus saya lakukan?

Pertama sekali pastikan bahawa kesemua kabel serta sambungan di antara cakera keras dengan papan litar adalah betul serta tersambung. Kemudiannya semakkan pada CMOS SETUPnya untuk memastikan maklumat mengenai cakera keras adalah betul.

Sesudah itu cuba mulakan komputer anda dan lihat samada cakera keras anda sudah mampu berfungsi seperti biasa. Jika belum, ia mungkin berpunca dari masalah ketidak selarian BIOS dengan sektor pada cakera keras anda. Simpankan maklumat yang terdapat pada cakera keras dan kemudian gunakan program FDISK untuk membuat proses pembahagian (PARTITION) dan formatkanlah cakera keras tersebut.

Jika masalah sedemikian masih wujud, rujuklah pada manual yang diberikan bersama dengan papan litar yang anda beli itu ataupun hubungilah pengedar papan litar tersebut. Mereka mungkin dapat membantu.

LAMAN UTAMA